2024
Rasa macam dah berhabuk blog aku ni tak ada sesi curhat antara diri sendiri.
Bukan tak mahu, tapi ada masa dan rasa nak buat. Sini selalunya tempat aku meluangkan masa melepaskan jiwa yang tak terbebas. Cerita-cerita bayangan dua pagi aku. Kalau ada tu adalah, kalau tak ada tu maksudnya sudah selamat dibukukan dalam fikiran aku.
Aku ni banyak je cerita, banyak je. Tapi itulah, hendak menyampaikan dalam bentuk apa itu sentiasa diperdebatkan antara hati dan akal aku ni. Tapi ada kata-kata yang aku baca, sebagai penulis ni kita kena sentiasa menulis. Jangan ikut perasaan atau orang. Walau rapuh macam mana sekalipun tulang belakang cerita kau, tulis sahaja. Duduk dan berimaginasi itu memang lumrah hakiki seorang manusia tetapi untuk manusia yang bergelar penulis mesti keluarkan HASIL imaginasi itu.
Setiap pemikiran, setiap kata-kata, setiap idea. Keluarkan…
Kerana dalam menulis, tiada had dan batas… bagi aku lah.
SIAPA KAU NAK MEMPERSOALKAN!
Apa pun—
tahun lepas banyak mengajar aku tentang "Bahagia lah dengan apa yang kita ada" asbab aku terlalu mengejar hubungan dengan manusia dan tempat untuk bersama dalam kumpulan tapi seringkali aku diingatkan, aku tidak diinginkan dalam mana-mana kehidupan manusia.
Sepertinya aku bergaul dalam kumpulan orang yang menganggap aku ini menceroboh privasi mereka sedangkan aku tidak ingin pun. Dia antara-- aku terjebak secara semulajadi atau aku diserap. Aku tidak meminta untuk menjadi sebahagian dalam kumpulan akrab mereka. Acapkali aku terasa seperti penceroboh dalam tempat aku anggap ZON SELAMAT. Tetapi pada hakikatnya, aku tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka untuk menjadi sebahagian. Kehadiran aku hanya sekadar kehadiran.
Aku kekal gembira dan bahagia dengan ZON aku sendiri bersama orang yang aku rapat dan sayang. Ada daripadanya sejak bangku sekolah, ada sejak zaman asasi. Aku bersyukur mereka masih inginkan aku dalam kehidupan mereka. Walaupun aku kebanyakkan masa pilih untuk bersendiri,
Pada hakikatnya, aku tidak suka bersendiri bila aku tahu yang aku dikelilingi orang yang peduli. Tetapi kerana sudah terbiasa dengan diri yang sukar difahami mana-mana manusia. Aku lebih memilih untuk berdiam dan melakukan semua benda sendiri. Aku stress, aku cari jalan sendiri. Aku marah, aku cari jalan sendiri. Aku sedih, aku cari jalan sendiri. Tahun lepas aku banyak mencari jalan sendiri.
Jujur, mestilah rasa CEMBURU melihat orang yang kita rapat keluar bergembira dengan orang lain sedangkan kita masih dalam 'waiting list' mereka. Mungkin aku ini mudah rasa terpinggir dan sunyi kerana itu lah perasaan aku sejak kecil lagi.
Aku menjadi manusia yang sangat susah untuk meluah bila aku tidak selesa dan masih ragu-ragu. Aku tahu, bila perasaan itu ingin dilontarkan menjadi kata-kata acapkali disalahtafsir kita ini merungut atau sentiasa tidak cukup. YA, dalam hidup aku ini sentiasa tidak cukup yang mendengar dan memahami. Sampaikan aku sendiri meragukan kemampuan aku untuk berkomunikasi dengan baik walaupun aku yang pertama akan membawa apa-apa isu ke dalam perbincangan. Tetapi aku tidak menganggap itu satu perkara untuk diperdebatkan atau dipergaduhkan kerana bagi aku itu perbualan biasa antara dua manusia. Aku menganggap kau manusia yang punya perasaan dan aku pun manusia yang punya perasaan.
Cara aku merungkai isi hati manusia adalah dengan menunjukkan isi hati aku. Kita ini sama-sama manusia, mana empatinya? Aku bertindak sedemikian bukan kerana kepentingan diri, demi kebaikkan sesama sendiri. Tetapi seperti biasalah, sentiasa disalahtafsir.
Mungkin salahnya aku...
Jadinya, aku lebih banyak berdiam dan memahami manusia. Berubah untuk kebaikkan hubungan sesama manusia. Aku tidak mampu kehilangan lagi.
Tidak mengapalah.
Semoga 2024 menjadi tahun yang baik dan sihat untuk aku dan orang-orang yang tersayang.
Ulasan
Catat Ulasan