CERPEN : HIPEROPIA






Mereka kata, cinta itu membutakan....

tapi aku rabun.... 

"Saya tak faham, setiap kali keluar mesti kena bayar sama-sama. Sampai bila nak macam ni?" Natasha tiba-tiba membuka bicara 

"Saya dah cakap awal-awal, kalau nak keluar tunggu lah saya gaji atau ada duit lebih. Ini tidak, tiga hari lepas baru sahaja kan kita ketemu?" Aku cuba untuk tidak terikut-ikut dengan emosi walaupun sedang panas mendengar ayat dia.

"Malu lah saya macam ini kalau ada kekasih tapi hidup macam seorang" 

"Memang nanti di kubur kita seorang-seorang juga sayang?" Aku cuba untuk berjenaka TETAPI aku tahu bukan waktu yang sesuai

"Dah lah! hantar saya balik"

"Memang dah sampai..." 

Natasha keluar tanpa sedikit pun rasa kasihan untuk melihat muka aku yang tampan bak Bront Palarae dalam cerita Jwanita. Sikit sahaja lagi aku nak turun kan brek untuk pergi, Natasha datang kembali, aku dah terbayang satu babak di kepala aku..

Dia datang dengan perasaan serba salah dan kembali masuk ke kereta lalu memohon maaf dan....

PAKKK!!

dia melontarkan rantai seperti melontar jamrah tepat ke muka aku. Rantai Lovisa ni wei! Tak ada promo masa tu aku beli tunai!

"Ambil lah rantai murah awak ni, jangan hubungi atau cari saya lagi. Kita tamat disini. SELAMAT TINGGAL!"

Dia terus hilang dari pandangan aku. Aku yang agak terkesima bersama rantai tergantung di cermin mata aku, sedang berfikir... 

Mana silap aku?

"Tuhan dah hantar kan kau seorang perempuan yang cukup cantik, apa lagi nikmat yang kau dustakan ni?"

"Entah, di mata aku dia masih seorang manusia. Ada kekurangan juga. Seharusnya bila bercinta kita kena saling menerima kekurangan masing-masing?"

"Aku rasa begini lah Naz..... kau tidak buta kah dengan cinta dia?"

"Ataupun....."

"Cinta dia tidak cukup untuk membutakan aku?"

"BENAR! Jadi nya, cari lah perempuan yang membutakan kau Naz..."

"Begitu cepat sekali? Aku baru sahaja ditinggalkan semalam..."

"Ditinggalkan tidak apa, kuasa alam pun tak mampu nak mengekalkan manusia dalam hidup kita. Jadi teruskan sahaja lah hidup dengan bertemu orang-orang baru"

"Ada benar kata kau, akan aku renung-renungkan..."

Semenjak perbualan kemarin, sudah dua hari aku bergadang, berlawan akal dan hati untuk mencari pengganti Natasha. Benar, dia cantik. Layak nya dengan orang yang setaraf kecantikkannya. Tapi apa sahaja yang ada pada diri aku ini untuk mendapatkan wanita yang mampu membutakan?

Cermin kereta aku diketuk. Aku yang daripada mengelamun terfikir sama ada aku sudah kunci pagar atau belum terkejut dan menurunkan tingkap. Aku tidak tahu berapa lama aku di dalam kereta tetapi sinaran mentari sembilan pagi ini sangat menyengat dan membakar kornea aku. Aku cuba untuk meniliti manusia di depan aku ini dengan mengecilkan mata aku sekecil-kecil yang boleh.

"Awak nak keluar ke?"dia membuka bicara

"Ah...Ta.. Iya. Kenapa awak nak masuk ke?" tanya aku 

"Iya, maaf kalau menganggu" jawab nya lembut

Ah, hati aku mula berbisik-bisik. Adakah ini satu petanda awal bahawa ini bukan pertemuan kali pertama dan terakhir? Haruskah aku meminta nombor? atau nama? atau nombor plat kereta???

"Rumah awak di mana ya?"

"Hah?"

Aduh....

"Tak...tak ada apa. Tengah rehat ke? kalau ya boleh saya bawa awak makan sebentar?"

"Tak malu ke? Tak apa lah saya cari tempat kereta yang lain"

Okay, disini memang terlihat aku gelojoh. Bukan apa, aku ini lemahnya pada suara yang selembut itu. Tetapi itu lah, tidak salah untuk mencuba. Andai kata ada jodoh kita ketemu lagi. Aku kembali berehat di dalam kereta.

"Sudah berhari aku lihat kau makan tak luak. Ada apa-apa terjadi ke?" Tanya Firdaus

"Aku rasa... Aku angau" balas aku lemah

"Dengan siapa?" Firdaus mengangkat kening tanda terkejut

"Adalah seorang perempuan ini, sekejap sahaja pertemuan nya"

"Nama?"

Aku menggeleng

"Nombor?"

 Aku menggeleng

"Nombor plat?"

Aku menggeleng

"Kau ini, kenapa peluang begitu harus dipersia-siakan macam itu sahaja. Rugi Naz, RUGI!"

"Tapi apakan daya, mungkin itu sahaja takdir aku dan dia"

"Esok, kau cuba duduk di tempat yang sama. Lihat, dia ada atau tidak"

"Tidak ada kerja aku..."

"Cuba sahajalah"

Dek temakan hasutan Firdaus, aku terpaksa korban kan waktu rehat aku dengan menunggu di tempat yang sama. Semata menanti sesuatu yang tidak pasti. Ketika aku ingin keluar dari kereta, aku terlihat perempuan itu sedang menyeberangi jalan. Aku hanya melihat dari jauh. Semakin dekat dia dengan aku, semakin jelas muka nya, ternyata... ini bidadari jatuh dari kayangan.

Dia berjalan melepasi aku dan meninggalkan bau minyak wangi yang membuatkan aku terikut dia dari belakang. Aku tidak mahu terlihat jelik, jadi aku...

"Hai"

"Ha.. awak?"

"Hai" aku tersengih

"Nak apa lagi? Dan kenapa awak ada di sini? awak ikut saya ya?"

"Eh tidak, tidak. Niat saya baik. Saya hanya nak katakan masa pertemuan pertama kita, saya langsung tidak ada niat nak buat awak tidak selesa. Jadi saya minta maaf"

Perempuan itu tersenyum kecil. Dia tidak menjawab sebaliknya mencari sesuatu di dalam beg nya. terlihat kad dan dia memberikan kepada aku

"Cermin mata tu macam nak kena tukar, boleh datang ke kedai saya" Dia berlalu pergi

Aku keliru.....


"Kad bisnes eh? lain macam, Ok lah lagi bagus dari nombor plat kereta bukan?"

"Memang nombor plat kereta itu satu keperluan ke?"

"Jadi kau nak pergi atau tidak?"

"Aku tidak tahu, sama ada dia sudah berpunya atau tidak. Mungkin isteri orang, emak orang.."

"Kau rasa dia macam mana?"

"Di mata aku, muka nya sangat simetri dan mempunyai dahi yang luas seperti Angelina Jolie, bibir munggil seperti Angelina Jolie, mata seperti Angelina..."

"Dia adalah Angelina Jolie?"

"Persis. Cantik, sangat cantik" kata aku dalam angau

"Kau sudah dilamun cinta kawan ku..."

"Jika ada jodoh, aku tidak akan sia-sia kan. Jika tiada. Mungkin dengan kau sahajalah aku berkahwin"

"Gila!"

Esok, tepat waktu rehat. Aku pergi bertemu dengan nya. Mengikut alamat yang tertera pada kad itu. aku mencari perempuan itu.

"Maaf tengah waktu re...." dia tidak menghabiskan ayat saat melihat aku

"Nak check mata sahaja, tak apa kan?" tanya aku

"Baik, sila duduk encik"

Aku membuka cermin mata dan mendaratkan dagu aku. 

"Kalau tak jelas bagi tahu ya"

Sesi yang lama. Atau aku yang sedang bermain cinta. Tapi aku rasa puas walaupun tidak ada banyak perbualan berlaku diantara kami.

"Kalau tengok kanta ni, mata belah kiri awak naik sikit dan silau belah kanan pun naik. Apa sebab ya?"
 tanya dia sambil mengelap cermin mata aku

"Sebab tengok awak sahaja mampu membutakan saya..."

Dia memandang aku terkejut. Mungkin aku terlepas cakap lagi. Aku sudah tahu jawapan nya dan tidak mengharapkan apa-apa. Mengambil cermin mata aku dan berjalan keluar.

"Sebentar.."

Aku menoleh

"Nak nombor plat kereta saya?"



TAMAT

Ulasan

Catatan Popular